Wednesday, March 30, 2011

Kecewa dengan keputusan peperiksaan..

tiba2 ada background adik2ku..^_^

Pasca keputusan SPM keluar, terdapat segelintir remaja yang mencari saya di alam maya. Meminta nasihat bagaimana hendak mengawal perasaan kecewa mereka. Mereka telah mendapat keputusan yang orang ramai pandang sebagai tidak cemerlang. Ada pula sebahagian daripada mereka, keputusannya cemerlang, tetapi dia tidak berpuas hati kerana tidak mendapat straight A’s.
Kecewa teramat-amat.
Seakan-akan dunia telah tertutup, dan menjadi sempit buat mereka.
Malah, ada yang sampai bertanya, “Mengapa Allah buat begini kepada saya?”
Bertenang adik-adik, bertenang.
Pada pendapat saya, SPM bukan pengakhir kehidupan. Ya, bukan pengakhiran. Tetapi SPM hanyalah salah satu ‘checkpoint’ dalam kehidupan. Kita perlu memandang sedemikian.
Barulah hati itu akan tenang dengan keputusan yang diberikan oleh Tuhan.

SPM – ruang muhasabah
Pandang semula ke belakang.
Benarkah sudah studi dengan bersungguh-sungguh? Atau sebenarnya kita masih bermain-main dan agak sambil lewa?
Pandang semula ke belakang.
Apakah kita ini benar-benar menjaga hati guru yang mengajar kita? Atau kita pernah mengecewakannya, tidak beradab dengannya dan sebagainya?
Pandang semula ke belakang.
Apakah kita ini telah berusaha menjaga hati sahabat-sahabat kita, dan orang lain? Atau kita pernah melukakan mereka, menganiayai mereka, berkata buruk kepada mereka, dan sebagainya?
Pandang semula ke belakang.
Bagaimanakah hubungan kita terhadap ibu bapa kita, adik beradik kita, saudara mara kita? Mungkin pernah kita buat sesuatu yang buruk buat mereka?
Pandang semula ke belakang.
Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT dan agamaNya? Apakah kita melaksanakan perintahNya? Adakah kita meninggalkan laranganNya? Atau kita tidak peduli dengan itu semua?
Ya. Pandang semua ini. Pandang.
Kemungkinan, keputusan yang buruk, yang mengecewakan, yang tidak mencapai sasaran kita itu, kita perolehi kerana sikap kita yang lalu, yang belum kita usaha untuk diampunkan.
Bukan salah Allah SWT sebenarnya. Salah kita.
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syuura ayat 30.
SPM tidak lebih hanyalah teguran Allah SWT buat kita. Tidakkah kita memerhatikan?
SPM – hentakan yang kuat.
Manusia ini, biasanya payah untuk beringat. Maka, biasanya Allah SWT akan memberikan beberapa ‘hentakan yang kuat’ dalam kehidupan agar kita terjaga dari lena. Ada orang dengan kematian kedua ibu bapanya, ada orang dengan kehilangan hartanya, ada orang dengan terjadinya bala benca dan sebagainya, yang mana semua itu mengaitkan dengan kehilangan sesuatu yang ‘besar’ dalam kehidupannya.
Untuk remaja, antara yang besar adalah SPMnya. Peperiksaannya.
Allah SWT memberikan hentakan ini, untuk kita tersedar kala usia masih muda, tenaga masih ada. Untuk bergerak menjadi mukmin yang lebih baik, lebih soleh. Tidakkah kita memerhatikan?
SPM – Bukan pengakhiran kehidupan
Jangan kecewa. Jangan salahkan Tuhan. Sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Tinggal, sesiapa yang tidak memandang hikmahNya, dia akan rugi selama-lama.
Ada orang, kecewa dengan keputusan SPM, terus malas belajar. Dia rugi.
Ada orang, kecewa dengan keputusan SPM, kelar tangan, bunuh diri. Dia rugi.
Itu orang yang tidak mahu memandang hikmah Allah SWT.
Tetapi bagi mereka yang memandang hikmah Allah SWT, maka teguran daripada keputusan yang tak berapa elok ini, akan dilihat dan diambil secara positif. Dia ubah dirinya, menjadi lebih berdisiplin. Dia tingkatkan dirinya, agar menjadi lebih soleh. Dia perbaiki dirinya, agar menjadi yang lebih kuat hubungannya dengan Allah SWT.
Terus bertranformasi menjadi seorang manusia yang baru.
Lantas, kehidupannya selepas SPM itu, akan diharungi dengan kekuatan dan semangat yang baru.
SPM bukan pengakhiran kehidupan. Ada 1001 lagi jalan untuk berjaya, tanpa menggunakan SPM. Tinggal, SPM adalah pemudah cara. Namun, tidak berjaya di dalamnya, bukan bermakna kita tidak akan berjaya di dalam kehidupan kita. Apatah lagi apabila kita sudah menjalani transformasi diri, insyaAllah kehidupan SPM itu akan menjadi lebih bermakna lagi, dan mudah dihadapi.
Ada orang yang tidak cemerlang SPM, berubah, lantas di dalam kepalanya muncul idea bisnes persendirian. Berjaya. Dia tidak rugi dalam kehidupannya.
Ada orang yang tidak mencapai sasarannya di dalam SPM, tidak dapat mengambil kos idaman, berubah, lantas di dalam kos yang terpaksa diambilnya, dia lakukan yang terbaik. Berjaya. Dia tidak rugi dalam kehidupannya.
Ada orang yang gagal dalam SPM, tidak dapat menyambung pengajian, berubah, dengan yakin tanpa segan, mengambil semula SPMnya. Berjaya. Dia tidak rugi dalam kehidupannya.
Mereka ini, adalah manusia-manusia yang memahami, bahawa kehidupan itu lebih besar daripada sebuah SPM.
Tidakkah anda memerhatikan?
Penutup: Jangan kecewa. Allah bukan tidak sayang kita. Bahkan, sayang.
Jangan tanam dalam diri, kalau dapat keputusan yang mengecewakan, itu tandanya Allah tidak sayang dengan kita. Tidak.
Bahkan, keputusan yang mengecewakan itulah tandanya Allah masih sayang kepada kita.
Kita yang banyak dosa, tidak dibiarkan cemerlang begitu sahaja, agar kita mampu memperbaiki diri kita. Kalau tidak diberikan ‘hentakan yang kuat’ ini, mungkin jadilah kita hambaNya yang ingkar sentiasa, tanpa punya peluang tersedar dari alpa. Tidakkah kita memerhatikan?
Dan mungkin juga, kita ini tak banyak dosa, tetapi keputusan tetap mengecewakan. Itulah dia ujian. Ujian adalah untuk peningkatan, tapisan. Allah ingin kita meningkat satu level lagi dalam hubungan kita dengan Dia. Bukankah itu satu perkara yang amat menyenangkan?
Tidakkah kita memerhatikan?
Maka jangan kecewa.
Pandang secara rasional.
Kehidupan belum berakhir.
Kita pandang semula. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita.

"Keep on Writing"...
source:
dari meja penulis Langit Ilahi
http://langitilahi.com/2011/03/28/motivasi-kecewa-dengan-keputusan-peperiksaan/#more-1292