Wednesday, February 15, 2012

Perjanjian Hudaibiyah

Bismillahirrahmanirrahim....



Thumamah bin Uthal, ketua Bani Hanifah datang ke Madinah dalam keadaan yang mencurigakan lalu di ditangkap. Setelah disoal siasat akhirnya lelaki itu mengaku diupah Abu Sufian supaya membunuh Rasulullah SAW. Pada sahabat mahu membunuhnya tetapi dilarang oleh baginda.

Rasulullah SAW menyuruh lelaki itu diikat pada tiang masjid selepas tiga kali diajak memeluk Islam tetapi dia enggan. Walaupun Thumamah bin Uthal diikat pada tiang masjid, Namun dia diberi layanan yang baik.

Nabi berpesan supaya Thumamah diberi makanan dan minuman yang lazat. Apabila makanan yang enak dan susu unta yang segar dihidangkan, dia memakannya dengan begitu gelojoh dan banyaknya. Kemudian dia minta ditambah lagi sehingga dikatakan makanan yang diberikan kepada Thumamah cukup sebagai hidangan sebuah keluarga kecil.

Para sahabat berasa hairan melihat perlakuan tawanan itu yang begitu pelahap memakan dan meminum susu, lalu disampaikan kepada Rasulullah SAW. Beliau cuma tersenyum lalu menyuruh para sahabat terus memberi layanan yang baik kepada ketua Bani Hanifah itu.

Ketika itu, ada antara para sahabat yang hairan dan tertanya-tanya kenapa Nabi Muhammad SAW menyuruh mereka mengikat Thumamah pada tiang masjid dan diberi pula layanan yang baik. Diberi makanan yang enak serta minuman susu unta yang segar. Thumamah juga dibenarkan pergi ke bilik air apabila memerlukan. Kemudian diikat semula pada tiang masjid itu. Namun tiada siapa yang mengetahui apa tujuan nabi berbuat begitu.

Apabila masuk waktu sembahyang Maghrib, azan pun dilaungkan oleh Bilal bin Rabah. Buat pertama kalinya Thumamah mendengar alunan suara yang begitu merdu didengar hingga meresap ke dalam kalbunya. Kemudian, dia menyaksikan pemandangan yang begitu mempesonakan apabila orang ramai datang ke masjid bagi menunaikan sembahyang secara berjemaah. Apabila Nabi Muhammad SAW datang bagi menjadi imam, orang ramai dalam masjid itu berdiri menunjukkan rasa hormat kepada beliau. Kemudian, Nabi Muhammad SAW menjadi imam sembahyang berjemaah. Thumamah mendengar betapa merdunya suara Nabi Muhammad SAW apabila membaca ayat al-Quran. Apabila beliau rukuk, orang ramai di belakangnya rukuk. Apabila beliau sujud, orang ramai dibelakangnya sujud dengan begitu tertib dan kusyuk. Thumamah berasa kagum kerana pemandangan yang begitu hebat belum pernah disaksikannya. Walaupun dia adalah ketua Bani Hanifah, namun tidak pernah diberikan penghormatan yang sebegitu rupa oleh kaumnya.

Pemandangan yang begitu mengagumkan itu berlaku lagi apabila Nabi Muhammad SAW dan para pengikutnya melakukan sembahyang Isyak. Sekali lagi Thumamah mendengar suara Bilal bin Rabah mengalunkan azan. Sekali lagi dia mendengar Nabi Muhammad SAW membaca ayat-ayat al-Quran ketika menjadi imam.

Selesai sembahyang Isyak, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat terus pulang ke rumah tanpa seorang pun menyapa Thumamah. Menjelang tengah malam, para sahabat datang semula ke masjid bagi beramal ibadat hingga masuk waktu sembahyang Subuh. Sekali lagi azan dikumandangkan oleh Bilal bin Rabah dan sekali lagi Nabi Muhammad SAW tampil ke hadapan menjadi imam. Thumamah melihat semua itu dengan rasa kagum.

Kemudian Nabi Muhamad SAW menyuruh supaya Thumamah dibebaskan tanpa syarat dan tanpa apa-apa perjanjian. Thumamah pergi mandi dan membersihkan dirinya. Kemudian, dia meminta diberikan pakaian yang bersih bagi menggantikan pakaiannya yang sudah kotor. Selepas itu, Thumamah mengadap Rasulullah SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, saya mahu menjadi pengikutmu.”

Thumamah pun mengucapkan kalimah syahadah, mengaku tidak ada tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah.

“Wahai Rasulullah, dengarkanlah pengakuan saya ini. Demi Allah, sebelum ini tidak ada wajah yang paling saya benci selain wajah tuan, tetapi sekarang tidak ada wajah yang paling saya cintai di atas muka bumi ini selain daripada wajah tuan. Demi Allah, sebelum ini tidak ada agama yang paling saya benci selain agama yang tuan bawa, dan sekarang tidak ada agama yang lebih saya cintai selain Islam. Demi Allah, sebelum ini tidak ada negeri yang paling saya benci selain negeri tuan, tetapi sekarang tidak ada negeri yang lebih saya cintai selain negeri tuan,” kata Thumamah.

(Peristiwa ini berlaku sebelum Perjanjian Hudaibiyah. Betapa bijaknya cara Rasulullah SAW berdakwah...Petikan dari novel Perjanjian Hudaibiyah)


(rujukan FB Abdul Latip & Link blog beliau)

No comments:

Post a Comment